Asal usul nama Sik

Sejarah ringkas berkenaan asal usul nama Sik ini boleh didapati dalam dua versi. Versi pertama yang juga menjadi versi rasmi yang diketahui ramai adalah nama Sik diperolehi daripada perkataan "Syeikh" iaitu gelaran yang diberikan kepada sekumpulan pendakwah Islam dari Arab (Hadramaut) yang menyusuri Sungai Chepir (salah satu rangkaian sungai utama di daerah Sik) dan singgah di Kg Lubok Tok Keramat untuk menjalankan kegiatan dakwah dalam kalangan masyarakat Melayu Sik sekitar abad ke-17. Masyarakat Melayu Sik asalnya merupakan masyarakat Melayu Pattani yang datang membuka tanah di kawasan barat dalam wilayah penguasaan Kesultanan Kedah. Perkataan "Syeikh" yang digelarkan kepada para pendakwah Arab tersebut lama kelamaan berubah menjadi Sek atau Saik mengikut loghat lidah Pattani yang akhirnya diterima sebagai nama kepada daerah ini.

Versi kedua berkenaan asal usul nama Sik pula bermula lebih awal daripada versi pertama tetapi kurang diketahui umum kerana hanya disampaikan secara lisan dari satu generasi ke generasi yang lain tanpa sebarang bukti catatan yang jelas. Kini versi ini hanya boleh didapati sekadar daripada hasil penceritaan orang tua-tua tempatan sahaja. Dikatakan pada suatu ketika dahulu, setelah Raja Bersiong (Raja Phra Ong Maha Perita Deria) yang bersemayam di Kota Aur digulingkan oleh Menteri Berempat hasil kerjasama permaisuri baginda sendiri, baginda terpaksa melarikan diri menggunakan pintu kecil menghala ke Timur (Pattani) untuk menyelamatkan diri. Kota Aur yang menjadi pusat pemerintahan dan persemayaman baginda pada ketika itu menurut kepercayaan generasi tua Sik bukanlah di Lembah Bujang atau Lembangan Sungai Muda di Daerah Kuala Muda mengikut versi rasmi tetapi Kota Aur yang dimaksudkan adalah di dalam Sik sendiri iaitu terletak berhampiran Kg Telaga Batu, lebih kurang 10km dari Pekan Sik berhampiran Empangan Beris pada hari ini. Suatu kebetulan di Kota Aur Sik sememangnya terdapat satu sungai yang dahulunya sangat dalam dan mampu dilalui oleh kapal tetapi setelah zaman berganti zaman, sungai tersebut kini telah menjadi cetek dan berkeladak. Sepertimana yang dicatatkan di dalam Hikayat Merong Mahawangsa, istana Raja Bersiong terletak berhampiran sungai besar dan berombak tetapi jauh daripada kawasan pantai dan laut. Namun begitu, sehingga kini masih belum terdapat sebarang kajian berkenaan dakwaan tersebut dan sejarah lisan golongan tua Sik tersebut masih belum dapat dibuktikan atau disangkal kesahihannya.

Berbalik kepada kaitan antara Raja Bersiong dan asal usul nama Sik, dikatakan bahawa ketika melarikan diri daripada hambatan angkatan pemberontak yang diketuai oleh Menteri Berempat, siong yang tumbuh di mulut Raja Bersiong mulai sakit sehingga berbunyi gemersik (bunyi ngilu adalah perasaan seriau yang dirasai apabila kita menggigit sudu besi😂). Hasil daripada perkataan "gemersik/gemersek" inilah akhirnya menjadi kepada punca nama daerah Sik. Ketika baginda sampai di suatu daerah lain pula kedua-dua siong beliau akhirnya berjaya dipatahkan lalu "dibaling" sejauh mungkin oleh baginda sehingga munculnya nama Baling pada daerah tersebut. Tempat di mana "siong" itu jatuh akhirnya dinamakan sebagai Kg Siong sempena memperingati peristiwa tersebut.